
TANJUNG MALIM 1 Feb. – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini mengadakan kerjasama dengan MIMOS Berhad (MIMOS) dalam pembinaan instrumen pengujian berasaskan pengujian boleh-suai berkomputer (CAT) bagi meningkatkan kualiti pelajarnya.
Ia adalah lanjutan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani UPSI dan MIMOS semasa Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Awam Antarabangsa (Pencipta) pada Oktober 2009.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerjasama tersebut membabitkan pembinaan empat instrumen iaitu kemahiran bahasa kemasukan universiti, ujian bakat kemasukan universiti, ujian kemahiran dan kecekapan Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan inventori nilai Bitara.
“Perancangan di peringkat kemasukan dapat membantu pihak universiti dan pelajar untuk memilih program bersesuaian dengan personaliti, potensi, nilai dan minat yang menjurus kepada peningkatan pencapaian dalam akademik dan kokurikulum.
“Ini sekali gus dapat menghasilkan modal insan kreatif, inovatif, berkualiti dan mempunyai permintaan pasaran,” kata pada majlis pelancaran kerjasama antara UPSI dan MIMOS, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Pusat Psikometrik MIMOS, Dr. Haniza Yon; Ketua Penyelidik UPSI, Prof. Dr. Othman Lebar dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Noraini Idris dan Ketua Pegawai Operasi MIMOS, Abd. Aziz Abd. Kadir.
Saifuddin berkata, sebagai negara sedang pesat membangun, Malaysia memerlukan generasi muda yang berani mengejar masa depan lebih mencabar serta berani mengambil risiko.
“Persoalannya, sejauh manakah sistem yang ada bersedia untuk membantu bakat dan potensi mereka ke arah tersebut.
“Namun, saya yakin sistem yang akan dibangunkan UPSI dan MIMOS ini mampu membantu mengembangkan bakat mereka,” katanya.
Sementara itu, Abd. Aziz Abd. Kadir berkata, usaha sama UPSI-MIMOS itu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.
Katanya, CAT merupakan kaedah psikometrik termaju untuk menjalankan ujian yang disesuaikan mengikut tahap keupayaan seseorang yang diuji.
“Kelebihannya, ia boleh memendekkan ujian tanpa mengurangkan ketepatan ukuran, mempunyai tahap keselamatan serta piawaian ujian lebih tinggi dan pemarkahan serta keputusan ujian secara serta merta.
“Banyak ujian kemasukan ke pusat pengajian tinggi di Amerika Syarikat seperti Graduate Record Examination (GRE) dan Graduate Management Admission Test (GMAT) menggunakan kaedah CAT,” katanya.
No comments:
Post a Comment